Isnin, 6 November 2017

Isu Sungai Johor: Penduduk dakwa pencemaran sejak 3 tahun lalu




KULAI: Penduduk sekitar Kampung Murni Jaya di sini, memberitahu isu pencemaran bau dari ladang ternakan ayam dan kilang memproses baja najis haiwan sudah berlaku sejak tiga tahun lalu.
Walaupun ada antara ladang ternakan ayam sudah menjangkau usia belasan tahun, namun kewujudan kilang memproses baja najis haiwan itu mengakibatkan kualiti kehidupan penduduk terjejas, selain terpaksa menghidu bau busuk najis haiwan berkenaan.
Penduduk, Esmadi Hamidi, 35, berkata mereka sudah lali dengan bau najis ayam dan kehidupan harian terganggu setiap kali musim hujan.
"Setiap hari, bau najis ayam ini akan menghantui kehidupan kami di sini. Jika sebelum ini, ia sekadar bau najis saja, tetapi keadaannya lebih teruk sejak akhir-akhir ini terutama dengan pencemaran ammonia ke sungai.
"Kami sedar dengan kemunculan sisa kotoran najis ayam yang melimpah ke parit dan keadaannya semakin teruk pada waktu hujan hingga ia mengalir ke sungai berhampiran iaitu Sungai Sayong," katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Khiromin Shah Mafford, 49, berkata beliau yang sudah 38 tahun tinggal di kampung itu terpaksa berdepan bau busuk akibat operasi kilang ayam, selain kediamannya dihurungi lalat setiap masa.
"Keadaan semakin buruk tiga tahun kebelakangan ini kerana bau busuk dari kilang pemprosesan najis semakin kuat, manakala kawasan kediaman dihurungi lalat.
"Malah, telaga digunakan untuk mendapatkan sumber air juga sudah berbau mengakibatkan kami sekeluarga terpaksa bergantung kepada bekalan air paip," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri dan pihak berwajib perlu menjalankan pemeriksaan ke atas empat ladang ayam di kampung itu.
"Biarpun satu daripadanya sudah diarahkan penutupan operasinya, tetapi terdapat tiga lagi ladang ayam masih beroperasi dan memerlukan pemantauan setiap masa.
"Pada masa sama, dua daripadanya juga terletak berdekatan Sungai Besui dan jika tidak dipedulikan, tidak mustahil situasi sama juga berlaku terhadap air yang mengalir ke Sungai Simpang Renggam," katanya.
Difahamkan, terdapat empat ladang ternakan ayam dengan satu daripadanya turut mempunyai kilang memproses baja najis haiwan berkenaan dan menjadi punca kepada pencemaran ammonia hingga menjejaskan Tiga Loji Rawatan Air (LRA).
Kelmarin, hampir dua juta penduduk daerah ini, Johor Bahru dan Kota Tinggi mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara tiga LRA iaitu LRA Semangar, Sungai Johor dan Tai Hong yang terjejas akibat pencemaran ammonia sejak Jumaat lalu.
Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengarahkan ladang ayam telur dan kilang memproses baja najis ayam di Layang-Layang, dekat sini, ditutup kerana dipercayai menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor.
Bagaimanapun, SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) dalam kenyataannya berkata, tiga LRA terbabit yang terjejas sejak Jumaat lalu sudah mula beroperasi sepenuhnya lewat petang semalam.

Sumber : https://www.bharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan