Isnin, 6 November 2017

Pencemaran sungai makin serius.




GEORGETOWN - Masalah pencemaran sungai akibat pembuangan sampah dan sisa kilang industri yang berlaku di Seberang Perai, didapati semakin serius.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, pihaknya menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran itu.

Menurutnya, isu berkenaan yang sudah berlarutan sejak sekian lama bukan saja menimbulkan bau busuk tetapi turut mengancam hidupan sungai dan laut serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai di situ.

“Tinjauan CAP mendapati sungai di Kampung Titi Hitam dekat Nibong Tebal, airnya bertukar menjadi hitam serta berbau busuk kerana dicemari najis babi dan sampah sarap yang serius.

“Manakala berhampiran kawasan perindustrian Bukit Minyak pula sungai di sini sudah mati dan tidak berfungsi setelah dijadikan tempat membuang sisa toksik dari kilang-kilang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya hairan bagaimana pengusaha dibenarkan membina kilang hingga ke sungai tanpa sebarang kawalan. 

“CAP percaya jika kilang-kilang di kawasan ini tidak diawasi dan sisa buangan tidak diurus secara sistematik, ia akan mencemarkan sistem saliran dan laut dengan lebih buruk menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan.

“Kami juga menerima banyak aduan dari nelayan di Kuala Juru dan Batu Kawan berkaitan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka berkurangan akibat masalah pencemaran bahan buangan dari kilang-kilang berhampiran,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pencemaran-sungai-makin-serius-1.419341

Tiada ulasan:

Catat Ulasan