Apabila dilancarkan nanti, antara keistimewaannya ialah perbadanan itu mempunyai kuasa pemantauan, penguatkuasaan dan pendakwaan khusus berkaitan sungai selain memberikan hak kepada masyarakat untuk turut sama menjaga kelesta­rian alam sekitar.

Bagi kawasan industri, kilang, kedai dan kediaman yang dikenal pasti membuang sampah dan sisa buangan ke sungai-sungai di negeri ini, mereka akan dikenakan caj selepas siasatan didapati mereka bertanggungjawab.
Langkah itu wajar. Mungkin rakyat Johor tidak menyedari, enam daripada 10 sungai yang tercemar di seluruh negara terdapat di Johor. Senarai itu dikeluarkan pada Mei tahun lalu.
Sungai yang tercemar ialah Sungai Air Merah dan Sungai Air Baloi di Pontian selain Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang, Sungai Tampoi serta Sungai Tukang Batu di sekitar Johor Bahru.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti puncanya dise­babkan kandungan airnya yang tercemar akibat pembuangan sisa-sisa industri daripada premis komersial dan kilang-kilang.
Selain itu, kita juga dikejutkan dengan penutupan Loji Rawatan Air di sungai Johor dan Sungai Skudai juga pada tahun lalu dise­babkan kualiti airnya yang teruk.
Berlaku pencemaran ammonia dalam kandungan sungai Johor mengakibatkan kualiti air mentah merosot dan menjejaskan bekalan air mentah di bebarapa kawasan di sekitar Johor Bahru.
Begitu juga loji rawatan air di sungai Skudai, hanya dapat beroperasi dalam tempoh dua bulan sepanjang tahun disebabkan pencemaran ammonia yang tinggi.
Terbaharu, pencemaran sungai sekali lagi mendapat perhatian apabila Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur tahap keber­sihan Sungai Tebrau pada 14 Mac lalu.
Sultan Johor yang meninjau sendiri sungai itu kesal dan mahukan masalah berkenaan diselesaikan.
Kos merawat dan memulihkan sungai Tebrau yang mempunyai beberapa lembangan atau anak sungai antaranya sungai Plentong dan sungai Pandan melibatkan peruntukan lebih RM100 juta.
Sungai sepanjang 33 kilometer yang mengalir dari Johor Baharu hingga Kulai itu tercemar akibat sampah-sarap dan sisa buangan. sungai Tebrau perlu mengambil masa bertahun-tahun dan dilakukan secara berperingkat-peringkat untuk memulihkannya.
Penulis yang hadir dalam program gotong-royong membersihkan sungai tersebut di Jeti Kampung Bakar Batu pada 30 Mac lalu, melihat sendiri terlalu banyak sampah terapung dan itu belum dilihat di bahagian dasarnya manakala sebahagian sampah ini bersifat tidak boleh mereput.
Bagi sampah yang boleh mereput pula, mengambil masa sangat panjang antaranya bahan plastik, polisterin, styrofoam dan bahan polimer. Sampah-sampah ini bukan sahaja boleh dilihat di sungai Tebrau tetapi dalam kebanyakan sungai yang tercemar di negeri ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) nege­ri, dalam tempoh enam atau tujuh tahun kebelakangan ini, terdapat kira-kira 50 batang sungai di Johor tercemar dan antaranya berada dalam kea­daan tenat.
Sebelum ini disebabkan kos merawat sungai-sungai yang tercemar terlalu tinggi, kerajaan menjalankan kempen kesedaran penjagaan sungai dan kepentingan mengekalkan kebersihannya.
JPS memperoleh RM1 juta setahun sebelum ini daripada kerajaan pusat untuk kerja-kerja merawat dan membersihkan sungai-sungai di Johor termasuk menganjurkan kempen keseda­ran.
Satu daripadanya adalah kempen Sayangi Sungai yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan sungai.
Namun masalah pencemaran sungai bukan sahaja tidak menampakkan hasil malah keadaannya bertambah kritikal.
Undang-undang dan peraturan yang mencegah orang ramai atau pihak industri membuang sampah-sarap atau kotoran ke dalam sungai yang dikuatkuasakan turut gagal meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
JPS turut merawat semua su­ngai-sungai yang tercemar di nege­ri ini dengan menggunakan bahan efektif mikroorganisma (EM) selain kegiatan gotong-royong membersihkannya. EM berfungsi membunuh bakteria dalam kos murah dan berkesan membersihkan air tercemar.
Langkah terbaharu diambil kerajaan negeri adalah dengan menganjurkan Program Community In River (Coir). Apa itu Coir? Coir adalah usaha terkini dalam memulihara sungai-sungai di negeri ini dengan penglibatan golongan muda secara langsung dan untuk jangka panjang.
Johor merupakan negeri termaju di negara ini tetapi kita tidak mahu aspek alam sekitarnya diabaikan. Sebagai sebuah negeri maju dengan proses urbanisasi yang pantas, aspek kualiti terhadap komponen alam sekitar seperti air, udara dan sumber makanan harus dipelihara.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/sungai-diancam-pencemaran-1.470645